PERNILLA dahului pusingan pertama ANA Inspiration. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Pemain Sweden, Pernilla Lindberg melakukan dua birdie berturut-turut untuk muncul pendahulu pusingan pertama ANA Inspiration dengan tujuh bawah par 65.

Pernilla yang melakukan tujuh birdie tanpa bogey di Mission Hills, Rancho Mirage, California, mengatasi cabaran pemain Jepun, Ayako Uehara dan pemain Sepanyol, Beatriz Recari yang berkongsi kedudukan di tempat kedua dengan par 66 dalam kejohanan pertama LPGA musim ini.

Pemain Amerika Syarikat, Jessica Korda, pemain Korea, Jang Ha-na dan pemain amatur Switzerland, Albane Valenzuela berkongsi tempat ketiga dengan par 67.

Lexi Thompson yang mengalami detik mengecewakan di venue sama tahun lalu mengetuai kelompok enam pemain dengan par 68.

Lexi gembira dengan permulaan baik di lapangan golf yang digemarinya tetapi kenangan didenda penalti tahun lalu masih menghantuinya.

“Saya tak pasti sama ada lega atau tidak. Saya cuma mahu pandang ke depan dan teruja dengan keadaan lapangan yang indah dan menghijau ini,”

“Secara keseluruhannya, saya beraksi baik hari ini dan harap dapat mengekalkannya untuk tiga hari seterusnya,” kata Lexi yang terharu dengan sokongan penonton.

Sementara itu, juara bertahan Ryu So-yeon dari Korea Selatan yang menewaskan Lexi dalam aksi playoff tahun lalu sebelum bergelar juara gagal melakukan birdie dengan mencatat tiga atas par 75.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:46 PM