KIMBERLY BONG
Jumiati Rosly

MESKIPUN lebih daripada separuh atlet terjun negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast kali ini masih muda, penolong ketua jurulatih baharu, Christian Brooker percaya ada di antara mereka mampu melakukan kejutan.

Antara penerjun yang menjadi sandaran itu adalah Jasmine Lai, Kimberly Bong, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabilin dan Muhammad Syafiq Puteh.

Mereka sebelum ini sudah pun mempamerkan kemampuan masing-masing dengan kebanyakannya memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Kebanyakan penerjun muda yang kita ada sekarang mempunyai potensi besar dan berkemungkinan mampu mara hingga ke final.

“Bagi saya, mereka ini bakal bersinar sepenuhnya, kemungkinan pada Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik akan datang,” kata Brooker di sini, hari ini.

Brooker yang berasal dari Australia itu berkata penerjun negara sudah berusaha keras dan mereka mencatat kejayaan pada temasya kali ini.

Sebagai rekod, skuad terjun negara tidak pernah menghampakan kontinjen negara dalam menghadiahkan pingat sejak Sukan Komanwel pada 2006 di Melbourne.

Penerjun negara dijangka sekali lagi menyerlah pada temasya di Gold Coast yang akan berlangsung pada 4 hingga 15 April ini apabila menampilkan bilangan penyertaan lebih ramai.

Sementara itu, Hanis Nazirul, 17, mengakui agak gementar tampil buat kali pertama pada temasya Sukan Komanwel, namun berharap dapat mempamerkan persembahan terbaik.

“Bagi saya yang bergandingan dengan Jellson (acara 10m platform lelaki seirama), kami tidak ada sebarang tekanan untuk mendapatkan pingat. Kami cuma perlu melakukan yang terbaik, apa lagi saya bakal beraksi dalam satu acara saja nanti,” katanya.

Kimberly Bong, 16, pula yang juga penerjun paling muda dalam skuad berkata dia teruja untuk beraksi nanti biarpun mempunyai perasaan gementar untuk tampil kali pertama.

“Memandangkan venue di pinggir pantai, saya jangkakan angin kuat pada hari pertandingan nanti dan sukar untuk stabil ketika berdiri. Namun saya akan cuba lakukan yang terbaik,” kata penerjun yang memiliki ketinggian 1.52 meter ini.

Kimberly akan menyertai acara 10m platform, 1m papan anjal dan 3m papan anjal dalam acara yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Optus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 6:46 PM