LOW BENG CHOO
Fadhli Ishak

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan Filipina perlu mengikut saluran betul sekiranya tidak berpuas hati berkaitan kes doping ekuestrian ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang membabitkan kuda mereka Adventure E.

Carissa Coscolluela, bekas presiden Persatuan Ekuestrian Filipina (EAP) dilaporkan berkata kepada Inquirer.net yang dia mengesyaki ada unsur sabotaj atau pengambilan secara tidak sengaja yang menyebabkan kegagalan dalam ujian berkenaan.

Carissa berkata, vitamin yang diberikan oleh doktor haiwan rasmi KL2017 sebagai punca utama bahan terlarang itu.

Ada dakwaan yang mengatakan vitamin berkenaan diuji dan didapati terdapat struktur yang sama seperti bahan terlarang dan kawalan keselamatan yang longgar di lapangan temasya mungkin menjurus kepada perbuatan jahat atau kecuaian.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo berkata, dakwaan berkenaan perlu dibuat secara rasmi.

“Mereka perlu memfailkan bantahan dan mengikut prosedur yang betul jika mempunyai sebarang isu, ini akan memberikan peluang kepada kami untuk memberi jawapan, barulah adil,” kata Beng Choo.

“Ketika ini kami tidak mendengar apa-apa (secara rasmi) berkenaan teori ini. Penunggang sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang diberikan kepada kuda mereka, sama seperti atlet lain. Setiap atlet bertanggungjawab dengan apa yang masuk ke dalam badan mereka.”

Colin Syquia yang menunggang Adventure E, memenangi emas lompatan individu tetapi kemudian kudanya itu didapati positif bahan terlarang Clomethiazole.

Menurut Beng Choo, atlet negara Sharmini Christina Ranasingham yang mendapat tempat kedua dalam acara itu, akan dinobatkan sebagai pemenang emas secara rasmi sekiranya rayuan Colin gagal.

“FEI (badan dunia ekuestrian) sudah mengadakan sesi pendengaran untuk kes ini dan mengesahkan penunggang (Colin) dibatalkan kemenangannya.

“Bagaimanapun, penunggang berkenaan mempunyai 21 hari untuk membuat rayuan. Kami perlu menunggu sehingga tamat tempoh itu sebelum menerima pengesahan emas menjadi milik Malaysia, sebab itu kami belum mengumumkannya.

“Penunggang (Colin) perlu membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya.

Beng Choo sebelum ini turut berperanan sebagai setiausaha jawatankuasa teknikal dan sukan di dalam Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:17 AM