GUARDIOLA mahu pastikan Sterling kekal bersama City. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Manchester City perlu memastikan Raheem Sterling kekal di Etihad daripada terlepas ke tangan Real Madrid, Barcelona dan Paris Saint-Germain yang berminat dengan bintang England itu.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu yang meraih pendapatan £180,000 (RM974,000) seminggu dan boleh meningkat sehingga £100 juta (RM541 juta) yuran perpindahan mempunyai kontrak sehingga 2020 tetapi pengurus City, Pep Guardiola tahu Sterling kini menjadi idaman beberapa kelab ternama.

“Banyak kelab berminat, apa sahaja boleh berlaku tetapi dia tahu betapa penting dia kepada kami,” kata Guardiola.

Sterling kini dalam proses mengadakan perbincangan melanjutkan kontrak selepas rakan sepasukan Kevin De Bruyne dan David Silva berbuat demikian beberapa bulan lalu.

Pemain itu kini berada di kemuncak prestasi dengan menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan, 10 di belakang penjaring terbanyak City, Sergio Aguero dengan takhta juara Liga Perdan Inggeris dalam jangkauan.

Tempat Sterling dalam skuad Piala Dunia England di bawah kendalian Gareth Southgate juga terjamin tetapi pada masa sama menarik minat kelab ternama Eropah.

Real yang memantau Sterling sebelum dia meninggalkan Liverpool pada 2015 sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam persaingan mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu, Guardiola turut risau dengan Sergio Aguero yang masih belum sepenuhnya selepas mengalami kecederaan lutut tiga minggu lalu.

Dia terlepas dua aksi persahabatan antarabangsa bersama Argentina ketika menentang Itali dan Sepanyol.

“Masalah dengan Sergio ini adalah dia sangat penting kepada kami dalam menghadapi baki perlawanan,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 7:54 AM