MOURINHO (kanan) enggan ulas prestasi tidak konsisten Pogba. FOTO/AFP
MOURINHO (kanan) enggan ulas prestasi tidak konsisten Pogba. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata, terpulang kepada Paul Pogba untuk menerangkan mengenai prestasinya yang tidak konsisten musim ini.

Pemain tengah itu mempamerkan aksi cemelang ketika Perancis menewaskan Russia 3-1 di Saint Petersburg, Selasa lalu. Dia menembusi gawang lawan melalui sepakan percuma menarik dan mencipta gerakan gol bersama Kylian Mbappe.

Bagaimanapun, Pogba tidak mendapat rentak bersama United sejak beberapa bulan lalu.

Selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal liga musim ini, dia hanya mampu menjaringkan satu gol ketika United menewaskan Newcastle pada 18 November lalu.

Terdapat beberapa laporan mengenai hubungan dinginnya dengan Mourinho sehinggakan jurulatih Perancis, Didier Deschamps mendakwa pemain itu tidak gembira di Old Trafford.

Mourinho beberapa kali menafikan dakwaan itu dan menganggap masalah Pogba juga tiada kaitan dengan kecederaan hamstring dialami pada September lalu.

Ketika ditanya mengenai masalah Pogba, Mourinho berkata dalam sidang akhbar semalam: “Tanya dia. Prestasi merosotnya tiada kaitan dengan kecederaan. Musim lalu dan musim ini dia pulih dengan cepat. Jadi apa masalahnya, anda sendiri tanya dia.”

Pogba yang dibeli dengan harga rekod £89j (RM482j) dari Juventus pada 2016 mengalami kemerosotan prestasi sejak pulih dari kecederaan pada November lalu.

Dia tidak bermain menentang Huddersfield pada pusingan kelima Piala FA selepas tidak sihat dan tidak diturunkan menentang Sevilla dalam aksi peringkat pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara sebaliknya posisinya diambil alih Scott McTominay.

Mourinho pula berkata, tiada apa boleh dilakukan untuk membantu pemain itu.

Pengurus itu juga tidak akan mencari pengganti Zlatan Ibrahimovic yang meninggalkan Old Trafford minggu lalu untuk menyertai LA Galaxy.

Dia yakin dengan kemampuan pemain sedia ada seperti Romelu Lukaku, Anthony Martial, Marcus Rashford dan Alexis Sanchez yang mampu menyarung jersi nombor 9 musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:36 AM