PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menyerahkan dokumen Perjanjian Usaha Sama untuk Jualan Tiket Online KAFA dan StubApp yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor bersama Ketua Pegawai Eksekutif Firmcode Sdn Bhd, Faisal Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Play4Sports Asia Sdn Bhd, Mizal Ghazali (kiri) di Kota Bahru. - Foto Hasbullah Ibrahim
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) kini melaksanakan jualan tiket secara dalam talian menerusi usaha sama dengan StubApp bagi memberi keselesaan kepada penyokong skuad The Red Warriors (TRW).

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata kerjasama dengan syarikat berpangkalan di Petaling Jaya itu adalah untuk tempoh sembilan bulan atau sehingga saingan musim ini berakhir.

"StubApp bersetuju bekerjasama dengan Online Tiket KAFA untuk membuat pembaharuan dengan memberi kemudahan kepada peminat yang ingin membeli tiket perlawanan membabitkan pasukan negeri ini.

"Jualan tiket secara talian dikhaskan untuk peminat tempat duduk terbuka saja dengan harga RM16. Ia boleh dibeli menggunakan kad kredit, kad debit atau membayar secara tunai di mana-mana cawangan kedai 7 Eleven di negeri ini.

"Kebaikan sistem belian tiket secara dalam talian ini adalah ia dapat mengatasi masalah penyokong terpaksa beratur panjang sehingga berlaku kesesakan setiap kali membeli tiket perlawanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bibi Ramjani berkata peminat yang sudah membuat pembayaran akan memperoleh kod QR yang dihantar ke telefon bimbit mereka.

"Peminat hanya perlu melalui proses imbasan kod itu di pintu masuk stadium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:09 PM