ANTARA ahli gusti Malaysian Pro Wrestling (MYPW) di sidang media MYPW yang akan berlansung pada 31 Mac 2018 di Teater Kuash TTDI. - Foto Zunnur Al Shafiq
Aida Adilah Mat


PENGANJURAN Gusti profesional MYPW mula mendapat perhatian ramai dengan penganjuran di KuAsh Theatre Tamann Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, turut dihadiri pelbagai peringkat umur dan bangsa.

Kemuncak penganjuran membabitkan perebutan tali pinggang MYPW World Regional antara Shaukat menentang Greg mendapat reaksi positif daripada penonton yang hadir.

Bertemakan ‘Resurgence’ iaitu kebangkitan, pengasas merangkap jurulatih gusti Malaysia, Ayez Shaukat Fonseka berkata, sambutan yang diterima membuktikan sukan berkenaan sudah boleh diterima penonton tempatan.

Katanya, lebih menarik kehadiran wakil dari WWE yang mengiktiraf ahli gusti tempatan membuka peluang kepada 10 ahli sukan itu melebarkan sayap beraksi di luar negara.

“Pada peringkat awal penganjuran MYPW ini, ramai yang tidak boleh menerimanya kerana penonton menyifatkan kami meniru budaya luar. Tapi selepas wakil WWE sendiri datang ke Malaysia dan mengiktiraf MYPW setaraf dengan ahli gusti luar negara pandangan itu sudah berubah.

“Biarpun nampak ganas, namun hakikatnya ia adalah satu yang menarik untuk ditonton semua peringkat umur,” katanya yang mula terbabit dengan gusti secara profesional sejak lima tahun lalu.

Ayez Shaukar berkata seramai 10 ahli gusti tempatan turut dipanggil untuk beraksi di luar negara selain membuat persembahan di Singapura, Hong Kong dan Thailand.

Selain Shaukat, pertembungan Resurgence turut mendapat penyertaan dari ahli gusti terkemuka Singapura iaitu Greg Glorious, The D dan Ladykiller.

MYPW diperkenalkan pada Mac 2014 dan sasaran utama tahun ini adalah memperkenalkan gusti profesional kepada generasi baru di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:51 PM