SKUAD kejar-mengejar berpasukan lelaki negara harap mampu membaiki rekod kebangsaan buat kali ketiga dalam tempoh tidak sampai setahun. - Foto Hazreen Mohamad
Azlan Muhammad Zain


REKOD kebangsaan menjadi sasaran skuad kejar-mengejar berpasukan lelaki negara apabila tampil bertanding pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

   

Mereka cemerlang melakar catatan baru ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada Februari lalu.

"Kami berharap mampu membaiki rekod kebangsaan buat kali ketiga dalam tempoh tidak sampai setahun. Latihan menunjukkan sesuatu yang positif.

"Rekod kebangsaan ketika ini adalah 4.09.600 saat dengan sasaran kami adalah 4:06. Kami percaya ia mampu dilaksanakan kerana pernah melakukannya dalam latihan.

"Ia turut membuktikan kami mempamerkan peningkatan dan mampu mencabar pada tahap seterusnya," kata pelumba utamanya, Irwandie Lakasek.

Gandingannya bersama Afiq Huznie Othman, Nur Aiman Rosli dan Eiman Firdaus Mohd Zamri melakar rekod kebangsaan berkenaan semasa aksi di ACC 2018 pada Februari lalu.

Ditanya mengenai sasaran pingat, Irwandie menjelaskan mereka turut impikannya namun sedar Sukan Komanwel adalah sebuah temasya berkelas tinggi.

"Australia dan New Zealand memang berada pada kelas tersendiri berbanding pasukan lain. Jadi kami berharap mampu mencabar pasukan lain dalam memastikan sekurang-kurangnya mampu menaiki podium," kata pemenang emas Sukan SEA itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:35 PM