PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat cenderahati yang diterima di Majlis Himpunan Raksasa Pesilat-pesilat Negara 2018 di SMK Sungai Pasu, Gombak turut bersama Presiden PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tiga dari kiri) dan Mahaguru Muda Pertubuhan Seni SIlat Lincah Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (kiri). - Foto Syarafiq Abd Samad


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mempunyai keahlian seramai 4.6 juta, merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak atas kelulusan pembinaan kompleks sukan persilatan negara di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri mengumumkan pembinaan kompleks sukan berkenaan ketika berucap pada majlis Himpunan Guru-Guru Silat Negara 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, petang tadi.

Najib yang menggelarkan dirinya sebagai Pendekar Bugis menegaskan pembinaan kompleks sukan persilatan berkenaan adalah bukti beliau amat rapat dengan dunia seni bela diri tradisi orang Melayu.

Kompleks ini dijangka dibangunkan di tapak seluas 1.2 hektar berhampiran Istana Budaya.

Presiden PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata pihaknya amat terharu dengan pengumuman Perdana Menteri itu selain peruntukan tahunan sebagai menghargai jasa maha guru dan jurulatih silat.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Penaung PESAKA atas pemberian sebidang tanah di Kuala Lumpur untuk pembinaan sebuah kompleks persilatan negara selain peruntukan tahunan bagi membayar elaun guru silat.

"Insya-Allah kami akan menggunakan peruntukan berkenaan sebaik mungkin seperti pesanan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata kompleks persilatan negara yang dicadangkan itu perlu dilengkapi dengan ruangan premis perniagaan dan sebuah hotel bagi membantu menjana pendapatan untuk membiayai program pembangunan silat di peringkat kebangsaan dan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 12:12 AM