PAHANG tanpa Doe (tengah) hadapi JDT pada saingan suku akhir pertama Piala FA, Jumaat ini. FOTO/FAIL
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh yang kehilangan khidmat penyerang berbisa, Francis Forkey Doe percaya dengan kemampuan skuadnya menjelang saingan suku akhir pertama Piala FA, Jumaat ini.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, ketiadaan Doe tidak boleh diratapi sehingga melemahkan pasukan, sebaliknya skuad Tok Gajah mampu berjuang untuk meraih kemenangan.

Justeru, beliau mahu pemainnya bersedia untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini terutama mencatat kemenangan selesa.

“Tanpa Doe ia sememangnya memberi kesan di bahagian serangan. Tapi kami perlu teruskan perjuangan untuk memastikan misi meraih piala tercapai apabila berada pada tahap ini.

“Dengan barisan sedia ada saya harap pemain yang diberi amanah dapat menjalankan tanggungjawab untuk membantu pasukan mencatat kemenangan,” katanya.

Sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia, Pahang mengadakan satu perlawanan persahabatan bertemu Terengganu FC II dengan mencatat kemenangan 1-0.

Jaringan tunggal itu dijaringkan penyerang Brazil, Patrick Cruz yang kini menjadi sandaran utama Pahang apabila bertemu JDT.

Berdasarkan rekod pertemuan pada suku akhir Piala FA musim lalu, skuad Tok Gajah mengecewakan Harimau Selatan itu menerusi agregat 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 2:24 PM