CONTE tidak bimbang masa depannya di Chelsea. FOTO/FAIL
Reuters

LONDON: Bos Chelsea, Antonio Conte tidak bimbang dengan masa depannya di kelab itu walaupun harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan berdepan ancaman serius apabila tewas di laman sendiri kepada Tottenham Hotspur, malam tadi.

Spurs bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 dalam saingan Liga Perdana itu, mencatat kemenangan pertama di Stamford Bridge sejak 1990, hasil jaringan jarak jauh Christian Eriksen dan dua jaringan babak kedua, Dele Alli.

Keputusan untuk meletakkan juara musim lalu, Chelsea lapan mata di belakang Spurs di kedudukan kelima namun Conte berkata, dia akan terus memberikan apa saja selagi dia kekal selaku pengurus.

“Tidak, saya tidak bimbang. Sejujurnya. Saya rasa saya sudah memberikan semuanya – pemain juga sama – semuanya untuk musim ini,” kata Conte.

“Kami bekerja keras untuk melalui musim yang bagus, tetapi saya rasa pada akhirnya, kami berhak musim ini. Inilah nilai kami.

“Saya ada pandangan saya tetapi saya sangat penat dengan mengulangi perkara sama. Saya tidak mahu mencipta masalah. Jika kami berada dalam posisi ini, kami berhak berada dalam posisi ini.”

Pengurus dari Itali itu dilaporkan media British berada dalam keadaan janggal bersama kelab itu berikutan dia mahu memperkuatkan skuad pada tempoh perpindahan awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 6:16 PM