TONGGAK pertahanan PKNS, Zac Anderson (dua dari kiri) sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut untuk mengekang barisan serangan Perak yang diterajui penyerang import dari Brazil, Gilmar Filho. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat


PENGUASAAN di bahagian tengah bakal menentukan pasukan mana yang akan muncul pemenang apabila PKNS FC menentang Perak pada suku akhir Piala FA kelak.

Tonggak pertahanan PKNS, Zac Anderson berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan setara di posisi berkenaan yang mampu merubah corak persembahan serta mempengaruhi keputusan perlawanan.

PKNS dan Perak akan membuat perhitungan pada suku akhir pertama di Stadium Shah Alam Sabtu ini disusuli saingan kedua pada 21 April depan.

Anderson membuat analisa itu berdasarkan pertembungan kedua-dua pasukan pada Liga Super di Stadium TLDM, Lumut, 10 Februari lalu yang berkesudahan PKNS menang 2-0.

Menurut Anderson, walaupun The Red Ants muncul pemenang dalam saingan itu namun hakikatnya ia perlawanan yang sangat sukar kerana Perak memberi tentangan hebat.

“Saya menjangkakan kami akan menempuh kesukaran serupa dalam perlawanan kali ini kerana jurang pemisah antara kedua-dua pasukan terlalu tipis. Ia pasti menjanjikan sesuatu yang sengit.

“Berdasarkan perlawanan Liga Super lalu, saya melihat bahagian tengah sekali lagi akan menjadi faktor penentu. Pasukan mana yang mampu mendominasinya, ia akan muncul sebagai pemenang,” katanya.

PKNS dijangka membariskan dua tonggak import, Romel Romales dan Jonathan Acosta untuk mengemudi jentera tengah sambil dibantu pemain kebangsaan, Mahali Jasuli.

Mereka bakal ‘berperang’ dengan trio tengah Perak terdiri daripada Nasir Basharuddin, Wander Luiz dan Lendro Dos Santos.

Sementara itu Anderson berkata dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut untuk mengekang barisan serangan Perak yang diterajui penyerang import dari Brazil, Gilmar Filho.

“Gilmar seorang yang sukar dikawal serta sentiasa perlu diberi tumpuan sepanjang perlawanan. Andai sedikit terleka, dia akan menghukum kami.

“Kecederaan dialami memberi saya cuti yang panjang, jadi saya akan kembali dengan semangat yang lebih segar untuk menghadapi perlawanan ini. Matlamat kami adalah layak ke final,” kata Anderson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 12:12 PM