KANE (kiri) akui Spurs perlu layak ke Liga Juara-Juara dan julang Piala FA. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur boleh dianggap mengharungi musim yang berjaya jika layak ke Liga Juara-Juara dan menamatkan kemarau trofi dengan menjulang Piala FA, kata penyerang berbisa, Harry Kane.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino ketika ini memiliki kelebihan lapan mata di depan Chelsea yang menghuni tangga kelima susulan kemenangan 3-1 ke atas The Blues dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

Kemenangan di laman lawan, Stamford Bridge itu menyaksikan Tottenham kini sudah meletakkan sebelah kaki untuk layak beraksi di kejohanan elit Eropah itu buat musim ketiga berturut-turut.

“Penting untuk kami mengekalkannya (beraksi di Liga Juara-Juara). Kami tidak mahu menjadi pasukan yang berada di sana setahun atau dua tahun dan kemudian terkeluar,” kata Kane.

“Kami layak untuk berada di sana. Kami menunjukkan kami boleh bersaing dengan kelab yang terbaik di Liga Juara-Juara musim ini.

 “Jelas, ia satu kekecewaan apabila tersingkir (menentang Juventus), tetapi kami memperoleh beberapa keputusan yang hebat, jadi kami mahu berada di sana sekali lagi tahun depan dan melakukan perkara yang sama.”

Spurs turut mara ke peringkat separuh akhir Piala FA buat musim kedua berturut-turut dan penyerang England itu bertekad untuk membantu kelabnya menjuarai trofi utama pertama sejak kali terakhir memenangi Piala Liga pada 2008.

Lawan yang bakal ditentang Spurs di peringkat empat terbaik pada 21 April ini ialah Manchester United manakala satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Chelsea dan Southampton dijadual sehari kemudian.

“Kami cuba untuk menang trofi dan kami berada di landasan yang baik,” kata Kane. “Kami perlu mengharungi perlawanan yang sukar menentang Manchester United tetapi jika mara, kami akan bertemu Chelsea atau Southampton dan melihat bagaimana kesudahannya.”

Selepas dipalit kecederaan buku lali ketika perlawanan dengan Bournemouth bulan lalu, Kane kembali disenarai dalam pasukan ketika aksi menentang Chelsea dan masuk sebagai pemain gantian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 4:13 PM