SALAH (tengah) pemain berbisa Reds. FOTO/LIVERPOOL FC
Reuters

LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah berkemampuan memusnahkan mana-mana pertahanan lawan dan layak memenangi anugerah Pemain Terbaik, kata rakan sepasukannya, Virgil van Dijk.

Liverpool dijadual menerima kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Salah dianggap sebagai ancaman terbesar buat City selepas sudah menjaringkan 37 gol dalam semua kejohanan musim ini termasuk satu gol ketika The Reds menewaskan skuad kendalian Pep Guardiola 4-3, Januari lalu.

Ketika ditanya adakah Salah mampu mengucar-kacirkan barisan pertahanan City yang beraksi cukup baik musim ini, Van Dijk berkata: “Semua orang tahu mengenainya. Kami juga merasakan perkara yang sama.

“Dia adalah pemain yang membuatkan kamu perlu berada di prestasi terbaik. Apabila dia di tahap 100 peratus, dia berada di zon di mana dia boleh menewaskan sesiapa pun.

“Ada cara untuk menghentikannya tetapi saya tidak akan memberitahu kerana saya tidak mahu lawan kami mengetahuinya.”

Salah yang juga pemain kelahiran Mesir dijangka bersaing sengit dengan pemain tengah City, Kevin de Bruyne bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Bolasepak Profesional.

Van Dijk tidak boleh mengundi untuk rakan sepasukannya tetapi berkata pasukan akan melakukan apa saja yang termampu untuk meningkatkan peluang Salah memenangi anugerah individu berkenaan.

“Saya fikir semua orang di bilik persalinan adalah orang yang normal. Tiada sesiapapun yang merasakan mereka lebih bagus daripada orang lain, semua orang bersatu dan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan,” kata pertahanan Belanda itu.

“Ia adalah perkara baik yang kami ada di dalam pasukan. Semua orang tahu semangat berpasukan kami dan tanpa semua orang, Mo tidak akan dapat menjaringkan semua gol yang dimilikinya. Semua orang perlu berada di tahap 100 peratus dan saya fikir kami melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 5:50 PM