SLOANE STEPHENS
SLOANE STEPHENS

CHARLESTON, Amerika Syarikat: Juara Terbuka Amerika Syarikat, Sloane Stephens menarik diri daripada kejohanan WTA Terbuka Volvo atas alasan keletihan mental dan fizikal selepas meraih gelaran di Terbuka Miami, Sabtu lalu.

Stephens diletakkan sebagai pilihan keempat pada kejohanan tanah liat pertama musim ini namun terpaksa membuat keputusan menarik diri semalam.

Dalam satu kenyataan, Stephens memohon maaf kerana terpaksa menarik diri ketika kejohanan di Miami menjadi punca dia keletihan.

Pada kejohanan di Miami, Stephens menewaskan Jelena Ostapenko 7-6 (7/5), 6-1 dan pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia masih belum bersedia untuk beraksi di tahap terbaik dan memutuskan untuk berehat buat seketika.

Sementara itu, pemain Jepun, Naomi Osaka menewaskan Jennifer Brady 6-4, 6-4 untuk melangkah ke pusingan kedua pada kejohanan terbesar bagi wanita di Amerika Utara.

Osaka yang berganjak satu anak tangga ke pencapaian karier tertinggi ke-21 dalam kedudukan ranking WTA, diletakkan sebagai pilihan ke-10 pada kejohanan di Pusat Tenis Family Circle, Daniel Island, Charleston.

Dua minggu selepas meraih gelaran pertama WTA di Terbuka Paribas BNP Indian Wells, Osaka, yang bergelut di gelanggang tanah liat berkata, dia berasa lega apabila berjaya meraih kemenangan.

“Saya OK di gelanggang tanah liat sejak kebelakangan ini,” katanya. “Saya mahu memulakan dengan langkah baharu tahun ini dan saya gembira kerana menang.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 9:30 PM