PATRICK Cruz (kiri). FOTO Rosdan Wahid
Asrol Awang

sukanteam@.com.my

Kuantan: Sokongan pemain ke-12 ditagih skuad Pahang menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kehadiran penyokong Tok Gajah penting bagi meniup semangat pemain dalam memburu kejuaraan musim ini.

“Tanpa penyokong, skuad Tok Gajah tidak akan sampai pada tahap ini dan paling penting untuk memastikan misi ke final menjadi kenyataan. “Sebagai wakil pasukan dari pantai timur, Pahang perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan merekodkan kemenangan selesa,” katanya.

Ditanya peluang mencatat kemenangan selesa ke atas Harimau Selatan Jumaat ini, Mohammed Suffian percaya dengan kemampuan skuadnya itu. Katanya, dengan percaturan jurulatih, Dollah Salleh, skuad itu tidak akan membenarkan lawan untuk membolosi gawang sebagai bekalan ke Larkin nanti.

“Oleh itu, saya mahu semua pemain dapat mempamerkan semangat juang tinggi terutama menceriakan penyokong sekali gus kembali menjulang Piala FA musim ini selepas melakukannya pada 2014,” katanya.

Mengulas kecederaan yang dialami Patrick Cruz (gambar), beliau berkata, penyerang import dari Brazil itu sempat pulih untuk bersama skuad Tok Gajah. “Setakat ini, kecederaan Cruz tidak serius dan boleh bersama pasukan membantu menajamkan lagi jentera serangan. Ketiadaan Francis Forkey Doe tidak menghalang Pahang untuk menyekat JDT meraih kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:53 AM