EMMA FIRYANA SAROJI
EMMA FIRYANA SAROJI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

SKUAD boling padang negara bukan saja akan memulakan langkah mereka di Broadbeach Bowls Club berdepan cabaran pesaing dari negara Komanwel tetapi juga keadaan cuaca tidak menentu.

Hujan di Gold Coast sejak beberapa hari lalu memberikan cabaran baharu buat untuk saingan kali ini dengan Emma Firyana Saroji yang bakal bersaing dalam acara singles, esok bakal menjadi pertaruhan terbaik.

Jika empat tahun lalu dia membantu pasukan meraih perak dalam acara fours di Glasgow, kali ini dia diberi kepercayaan untuk beraksi dalam acara singles.

“Emma akan menentang pemain England, Katherine Rednal untuk perlawanan pertamanya dan berharap dia mampu mempamerkan aksi terbaik kali ini,” kata pengurus pasukan boling padang wanita, Tengku Datin Seri Noor Hazah Tengku Abdul Aziz Shah.

“Dia bukan saja diberi kepercayaan bertanding dalam acara singles, namun turut beraksi dalam acara pairs, bergandingan dengan Siti Zalina Ahmad.”

Berdasarkan perlawanan persahabatan menentang Wales dan Afrika Selatan yang diadakan di sini, beliau yakin skuad negara mampu memberikan yang terbaik pada hari pertandingan.

Mengenai isu cuaca, beliau berkata anak buahnya sudah mula membiasakan diri dengan perubahan cuaca apabila menjalani latihan di sini sejak bulan lalu.

Turut beraksi esok adalah pasukan triples lelaki iaitu Muhammad Soufi Rosli, Syamil Syazwan Ramli, Zulkhilme Redzuan yang akan menentang trio Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 7:36 PM