LOPES (kanan) antara pemain yang dilepaskan KAFA. -Foto fail
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN import dari Brazil, Bruno Lopes bersama tiga pemain tempatan S Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti tidak lagi beraksi bersama Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya membuat keputusan untuk melepaskan empat pemain itu selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Ya, kami lepaskan mereka dan meminta mereka mencari pasukan baharu menjelang jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Kami membuat keputusan ini berdasarkan beberapa faktor... banyak perkara kami teliti sebelum memutuskannya dan ia wajar dilakukan demi masa depan pasukan.

“Bagaimanapun, KAFA mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada empat pemain ini atas sumbangan dan bakti mereka terhadap pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, persatuan bola sepak negeri itu melepaskan enam pemain mereka musim ini termasuk pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga; penyerang Norfarhan Muhamad; bekas pemain PKNP, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman; bekas pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah dan pemain berketurunan Siam-Kedah, Hattaphon Bun An.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 10:12 PM