TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi (tengah) dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media selepas mesyuarat khas pertama jawatankuasa eksekutif di Wisma FAM. - Foto Luqman Hakim Zubir
Zulfaizan Mansor


TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menegaskan tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan nama Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden baharu badan induk itu bukan untuk dijadikan sebagai proksi.

Sebaliknya, Yusoff menjelaskan faktor utama Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mencadangkan nama Hamidin kerana Setiausaha Agung FAM itu adalah individu paling layak untuk membawa kemajuan kepada bola sepak negara.

Beliau berkata, TMJ sudah pasti membuat penilaian sepenuhnya terhadap kemampuan Hamidin terutama selepas setahun bekerjasama menguruskan badan induk itu.

“TMJ mahukan seseorang yang lebih mudah untuk bekerja dan Presiden FAM yang memahami keperluan MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Malah, FAM juga perlukan kerjasama yang baik daripada MFL selepas ini.

“Beliau (TMJ) hanya fikir orang yang boleh bawakan kemajuan kepada bola sepak bukan kerana proksi atau sebagainya, semua isu itu tidak sepatutnya timbul. Soalnya sekarang adalah hanya mengenai orang yang benar-benar layak jadi presiden.

“Semua orang boleh lihat kemampuan Hamidin. Beliau cukup mahir dalam pentadbiran bola sepak dan dikenali, bukan saja di Malaysia, malah di peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

TMJ mencadangkan nama Hamidin untuk menerajui FAM selepas beliau melepaskan jawatan nombor satu badan induk itu pada 25 Mac lalu.

Malah, Hamidin kini menjadi calon pilihan untuk menerajui badan induk itu selepas mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Exco FAM dan majoriti ahli gabungan.

Selain itu, Yusoff turut mengakui tiada individu yang lebih layak untuk menerajui FAM selain Hamidin yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Agung.

“Siapa lagi yang layak dipilih sebagai Presiden FAM? Mungkin ada individu yang berduit, tapi bagaimana hubungan beliau dengan FIFA dan AFC serta pengetahuan beliau dalam bola sepak untuk urus FAM.

“Bagi saya, semua itu tiada masalah buat Hamidin kerana hubungannya dengan semua persatuan termasuk AFC dan FIFA sudah terbina dengan baik dan ia akan menyenangkan urusan FAM.

“Kalau presiden baru, mereka perlu mulakan hubungan serantau dan sebab itu TMJ cadangkan nama Hamidin kerana beliau percaya ia akan melancarkan segala perancangan FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 7:51 PM