PENJAGA gol Saint-Etienne, Stephane Ruffier (kiri) kecewa selepas Debuchy jaring gol sendiri. FOTO/AFP
AFP

SAINT-ÉTIENNNE, Perancis: Saint-Etienne menangguhkan impian Paris Saint-Germain (PSG) untuk menjulang trofi Ligue 1 lebih awal apabila mengikat pendahulu liga Perancis itu, 1-1 dalam aksi di Stade Geoffrey-Guichard, pagi tadi.

Tuan rumah sepatunya mampu meraih tiga mata penuh, tetapi jaringan sendiri Mathieu Debuchy pada penghujung perlawanan membolehkan PSG yang beraksi 10 orang berkongsi satu mata.

Bekas penyerang Newcastle, Remy Cabella meledak gol pada minit ke-17 untuk meletakkan Saint-Etienne di depan, namun dia juga gagal menyudahkan penalti.

Tuan rumah gagal menggunakan kelebihan apabila pemain PSG, Presnel Kimpembe dibuang padang dan hanya sekadar seri selepas sepakan Debuchy menerjah gawang sendiri dalam masa kecederaan.

“Babak pertama kami bermain paling buruk sepanjang tahun,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.


PEMAIN PSG, Edinson Cavani terlepas peluang jaring gol. FOTO/REUTERS

“Tetapi saya gembira dengan cara kami bertindak balas serta kerja keras pada babak kedua, jadi kami berhak mendapat satu mata.”

Dalam pertembungan pagi tadi, Kylian Mbappe memulakan saingan, manakala Edinson Cavani di bangku simpanan dan Neymar pula masih berada di Brazil, ketika sedang menjalani proses pemulihan pembedahan kecederaan kaki.

Saint Etienne yang berada di puncak prestasi tampak mampu meneruskan rentetan 10 perlawanan tanpa kalah, dan mereka mendahului menerusi jaringan minit ke-17 Cabella.

Keputusan itu menyaksikan PSG mengumpul 84 mata dan masih berbaki enam perlawanan liga, 17 mata meninggalkan pasukan di tangga kedua, Monaco yang akan berdepan Nantes, hari ini.

Tanpa perlu bergantung kepada keputusan perlawanan Monaco, PSG sudah boleh menjulang trofi liga jika menang dalam aksi di laman sendiri pada minggu depan.

PSG sepatutnya meraikan kejayaan itu lebih awal jika menang ke atas Saint-Etienne pagi tadi dan Monaco pula tumbang di laman sendiri hari ini.


PENYOKONG Saint-Etienne melepaskan suar. FOTO/REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 7:42 AM