PEMAIN PKNS FC, Rafael Ramazotti De Quardros diasak oleh pemain Perak, Shahrul Mohd Saad (kanan) pada perlawanan suku akhir Piala FA Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Hafiz Sohaimi
Aziman Rosdi


KEDUDUKAN PKNS FC masih belum selamat selepas mereka sekadar menang tipis 2-1 ke atas Perak pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Dengan berbaki 90 minit yang perlu diharungi pada aksi kedua di Stadium TLDM, Lumut pada 21 April ini, peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan untuk mengintai slot ke separuh akhir.

Beraksi di laman sendiri, PKNS membuat asakan awal menerusi percubaan penyerang import Brazil, Rafael Ramazotti pada minit kelapan namun tersasar.

Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic bangkit membalas serangan itu dengan rembatan Amirul Azhan Aznan untuk mencemaskan penjaga gol PKNS, Shahril Saari.

Ramazotti sekali lagi kecewa selepas bola lambungannya dikeluarkan oleh pertahanan pelawat, Robert Cornthwaite meskipun penjaga gol Hafizul Hakim Jothy sudah tertewas pada minit ke-22.

Bagaimanapun tiga minit kemudian, anak buah Datuk K Rajagobal berjaya memecah kebuntuan selepas pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli merembat masuk bola dalam kotak penalti.

Perak, juara Piala FA dua kali, tidak mengalah apabila berusaha keras mencari gol penyamaan pada babak kedua.

Ketika pelawat sibuk mengasak, penyerang gantian Safee Sali menyumbat gol kedua PKNS selepas menanduk masuk hantaran lintang Mahali Jasuli pada minit ke-88.

Namun Perak boleh menarik nafas lega dengan membawa pulang satu gol di tempat lawan hasil sepakan penalti Wander Luiz pada minit keempat masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 11:45 PM