PELUMBA Pramac Ducati, Jack Miller. - Foto EPA

TERMAS DE RIO HONDO, Argentina: Penunggang Australia, Jack Miller mencipta kejutan apabila menempah petak depan MotoGP Argentina awal pagi tadi, selepas mengambil risiko pada pusingan terakhir di litar Thermes de Rio Hondo.

Miller, yang menunggang buat pasukan Pramac Ducati, mengatasi Dani Pedrosa yang menunggang Honda dengan pelumba Perancis, Johann Zarco bersama Yamaha Tech 3, melengkapkan petak depan.

“Ia sangat basah, saya hampir terjatuh beberapa kali,” kata penunggang berusia 23 itu yang mencatat masa 1 minit 47.153 saat dengan Pedrosa 0.177s di belakang menggunakan tayar licin.

“Ia kepuasan yang hebat dan untuk ini, saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang melakukan tugas dengan baik ketika ujian musim sejuk dan dua perlumbaan awal minggu ini.

“Saya rasa yakin untuk kembali ke litar menggunakan tayar licin. Ia bukanlah mudah, terutama untuk dua selekoh yang masih basah.

“Saya rasa ia adalah (catatan) masa yang saya perlu lakukan. Ia pilihan yang tepat dan kerana itu saya sangat sangat gembira.”

Persembahannya turut menerima pujian pencabar utama, Pedrosa yang menggambarkan kedudukan petak depan diraih penunggang Australia itu sebagai ‘menakjubkan’.

Juara dunia, Marc Marquez ketinggalan 0.611s bersama jentera Honda untuk kedudukan keenam.

Kedudukan perlumbaan

Barisan depan

1. Jack Miller (AUS/Ducati Pramac) 1:47.153, 2. Dani Pedrosa (ESP/Honda) at 0.177, 3. Johann Zarco (FRA/Yamaha Tech3) 0.212 

Barisan kedua

4. Tito Rabat (ESP/Ducati Avintia) 0.528, 5. Alex Rins (ESP/Suzuki) 0.590, 6. Marc Marquez (ESP/Honda) 0.601

Barisan ketiga

7. Aleix Espargaro (ESP/Aprilla) 0.692, 8. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 1.094, 9. Maverick Vinales (ESP/Yamaha) 1.891

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 11:37 AM