PEMAIN Real, Cristiano Ronaldo bersaing dengan penyerang Atletico, Antoine Griezmann pada aksi liga di Santiago Bernabeu. - Foto REUTERS

MADRID: Zinedine Zidane mengingatkan pemainnya supaya melupakan segala spekulasi Liga Juara-Juara berkaitan Real Madrid selepas mereka terikat 1-1 menentang seteru setempat, Atletico dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.

Jaringan ke-24 Cristiano Ronaldo dalam 15 perlawanan musim ini belum cukup untuk membolehkan pasukannya memenangi aksi ‘derby’ itu apabila Antoine Griezmann menyelamatkan skuad Diego Simeone dan berkongsi satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Real jatuh ke tangga keempat La Liga, di belakang Valencia yang mengalahkan Espanyol 1-0.

Ronaldo dikeluarkan selepas sejam perlawanan di Santiago Bernabeu, manakala Luka Modric dan Karim Benzema bermula di bangku simpanan - ketika Zidane dilihat lebih mengutamakan saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Juventus, Rabu ini.

Real meledak 3-0 untuk meraih bekalan selesa ketika aksi pertama di Turin dan Simeone sendiri bersetuju Los Blancos dianggap sebagai pasukan pilihan mara ke separuh akhir dan mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, Zidane, tidak mahu tanggapan itu mengganggu tumpuan pemainnya.

“Semua orang melihat kami akan mara ke separuh akhir dan itulah perkara yang tidak sepatutnya berada di minda pemain pada ketika ini,” kata Zidane.

“Kami lebih mengenali pasukan ini, kami tahu kami akan menderita sekali lagi pada Rabu ini.

Atletico juga masih bersaing dalam Liga Europa dan bakal beraksi di suku akhir kedua pada Khamis ini menentang Sporting Lisbon - berbekalkan kelebihan 2-0 selepas menang di laman sendiri, minggu lalu.

Mereka sepatutnya beraksi dengan penuh keyakinan selepas kembali mengatasi Real dengan kelebihan empat mata untuk terus kekal di tangga kedua liga, manakala pendahulu, Barcelona kita memiliki kelebihan 11 mata.

“Kami sepatutnya meraih lebih banyak mata malam ini,” kata Zidane.

“Kami memiliki banyak peluang tetapi akhirnya kami juga boleh kalah dalam perlawanan seperti ini,”

Jaringan Griezmann itu hadir dalam penampilan ke-200 buat Atletico, manakala Ronaldo meledak gol ke-500 kelab dalam 161 aksi liga membabitkan pertembungan dua seteru utama berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 11:15 AM