AKSI Van Dijk (kiri) mengekang Gabriel Jesus pada saingan suku akhir pertama di Anfield pada 4 April lalu. - Foto EPA-EFE
AFP

MANCHESTER: Virgil van Dijk menepati statusnya pertahanan termahal dalam karier pendeknya di Liverpool, namun berdepan Manchester City yang terdesak pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Rabu ini akan menjadi ujian terbesar buatnya.

Pendahulu Liga Perdana itu boleh membariskan penyerang paling mahal dunia bagi misi menyelamat itu, namun mereka mungkin menyesal melepaskan Van Dijk, jika gagal menukar defisit 0-3 selepas perlawanan pertama.

Liverpool mengatasi saingan City bagi mendapatkan Van Dijk pada Januari dari Southampton, enam bulan selepas usaha mereka mendapatkan pemain Belanda itu gagal.

Jurgen Klopp dikritik pada awal kempen kerana enggan berbelanja besar untuk membeli pemain lain seperti Van Dijk, ketika peluang Liverpool untuk mencabar City bagi gelaran liga lenyap kerana masalah pertahanan.

Bagaimanapun kesabaran pengendali Jerman itu untuk mendapatkan sasaran utama berbaloi ketika Van Dijk mengetuai perubahan di Liverpool untuk mengekang lawan mereka.

“Apa yang kami perlukan di Liverpool ialah pemain seperti ini yang juga pemimpin,” kata Klopp mengenai pengaruh Van Dijk.

Kapten Belanda itu bagaimanapun akan berdepan ujian sebenar di Etihad, tempat Liverpool tewas 5-0, awal musim ini.

Skuad kendalian Klopp juga dibelasah 4-1 Tottenham dan seri 3-3 di Arsenal dan Sevilla, sebelum kehadiran Van Dijk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 1:51 PM