ALIA menamatkan saingan di tempat ketiga. FOTO/FAIL
ALIA menamatkan saingan di tempat ketiga. FOTO/FAIL
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast


ALIA Sazana Azahari mendedikasikan pingat yang diperoleh buat ibunya, Saydah Salleh dan mentor, Bibiana Ng selepas menamatkan saingan di tempat ketiga pada final 25 meter pistol di Pusat Menembak Belmont, hari ini.

Penembak berusia 27 tahun itu yang menduduki tempat keenam dalam pusingan kelayakan dengan menghimpun 571 mata, mempamerkan peningkatan prestasi pada final dengan mencatatkan keseluruhan 26 mata bagi menaiki podium.

Penembak India, Heena Sidhu memenangi emas dengan rekod temasya 38 mata, diikuti penembak tuan rumah, Elena Galiabovitch (35 mata).

Kemenangan Alia di Australia lebih istimewa apabila atlet kelahiran Kuala Terengganu itu sebelum ini menghabiskan tiga tahun di Sydney bagi pengajian sekolah tinggi dan juga meneruskan pengajian pengurusan perniagaan di Uniworld Business College.

“Saya mendedikasikan pingat ini buat ibu saya yang meraikan ulang tahun dua hari lalu. Ia juga adalah hadiah ulang tahun buat ayah saya yang akan menyambutnya tidak lama lagi,” kata Alia yang memenangi emas acara sama pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Saya datang ke sini dengan harapan memenangi gelaran, tetapi menamatkan saingan di podium juga pencapaian terbaik saya.

“Ini adalah pingat Sukan Komanwel pertama saya dan ia mimpi yang menjadi kenyataan.

“Pertandingan hari ini sangat sukar dan saya lega kerana berjaya melakukan bidikan yang konsisten sepanjang saat sukar itu.”

Alia juga berterima kasih kepada penembak senior dan bekas pemenang pingat emas, Bibiana yang menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan 12 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 8:18 PM