PELUMBA pasukan Honda Asia-Dream, Zaqhwan Zaidi mengakui menimba banyak pengalaman baharu pada perlumbaan pertamanya di Kejuaraan Seluruh Jepun. - Foto FB Zaqhwan Zaidi
PELUMBA pasukan Honda Asia-Dream, Zaqhwan Zaidi mengakui menimba banyak pengalaman baharu pada perlumbaan pertamanya di Kejuaraan Seluruh Jepun. - Foto FB Zaqhwan Zaidi
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi mengakui dia menimba banyak pengalaman baharu pada perlumbaan pertamanya di Kejuaraan Seluruh Jepun, hujung minggu lalu.

Zaqhwan yang muncul selaku pelumba pertama negara beraksi secara musim penuh dalam kelas JSB1000 menamatkan dua perlumbaan pembuka tirai musim 2018 di Litar Twin Ring Motegi, masing-masing di tangga ke-19 dan 14 selepas bermula dari petak ke-27.

Pada perlumbaan pertama, Zaqhwan yang bersama pasukan Honda Asia-Dream menamatkan saingan di tangga ke-19 dengan 43 minit 43.695 saat sebelum memperbaiki catatannya, 43’28.637s pada perlumbaan seterusnya.

Meskipun menunjukkan peningkatan, namun Zaqhwan sedar masih banyak yang perlu dipelajari terutama untuk menyesuaikan diri dengan jentera CBR1000RR SP2 dan juga cuaca sejuk.

“Saya agak bergelut pada perlumbaan pertama apatah lagi dengan hujan dan cuaca sejuk namun untuk perlumbaan kedua, cuaca lebih baik dan saya menamatkan saingan di tangga ke-14,” kata Zaqhwan kepada Sukan NSTP.

“Tayar juga memainkan peranan. Di sini, kami menggunakan tayar Bridgestone yang lebih keras berbanding Dunlop, jadi langkah demi langkah, saya perlu memahami karakter jenis tayar ini.”

Pusingan kedua musim dijadual berlangsung di Litar Suzuka pada 21 dan 22 April ini sebelum Autopolis, pertengahan bulan depan.

“Untuk perlumbaan akan datang, saya akan cuba meningkat dan menyesuaikan diri dengan motosikal. Insya Allah saya boleh memberi saingan dan mencari keserasian dengan jentera.

“Sekiranya semuanya sudah serasi, saya yakin mampu mencari penamat yang lebih baik,” kata Zaqhwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:56 AM