BRUNO (kiri) belum terima sebarang pampasan daripada KAFA. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


BEKAS pemain import Kelantan, Bruno Lopes menyifatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai persatuan yang memiliki organisasi paling teruk pernah dia berkhidmat sepanjang kerjayanya.

Ia susulan tindakan KAFA yang mengambil pendekatan untuk berdiam diri berhubung soal pampasan yang seharusnya dibayar kepada penyerang berusia 31 tahun itu selepas bersetuju menamatkan kontraknya lebih awal selepas mengalami kecederaan jangka masa panjang.

Justeru, dia kini menagih janji KAFA mengenai pampasan dan mengakui rasa tertipu serta bingung selepas tidak mendapat sebarang perkembangan mengenai tuntutan berkenaan.

“Mereka belum lagi membayar pampasan kepada saya. Saya ada keluarga dan anak namun apabila saya cuba mendapatkan maklum balas, ia gagal kerana mereka menghalang saya di aplikasi WhatsApp.

“Saya tidak tahu apa kedudukan saya dan juga pampasan yang dijanjikan itu. Tiada apa-apa perkembangan. Kelantan adalah pasukan dengan organisasi paling teruk yang pernah saya jumpa.

“Kelab amatur di Brazil pun memiliki struktur organisasi yang lebih baik dan tersusun berbanding mereka. Sudahlah mereka tidak membantu saya dengan proses pemulihan, sebaliknya sekadar fikir untuk menamatkan kontrak saya sahaja,” katanya.

Pemain import dari Brazil itu bersama tiga pemain tempatan S Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti adalah antara pemain yang digugurkan KAFA untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bukan setakat empat pemain terbabit, KAFA turut melepaskan enam pemain mereka sebelum ini termasuk pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga; penyerang Norfarhan Muhamad; bekas pemain PKNP, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman; bekas pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah dan pemain berketurunan Siam-Kedah, Hattaphon Bun An.

Bagaimanapun, Lopes mengakui ‘tragedi’ yang dialami ketika ini tidak akan membantutkan hasratnya untuk beraksi dalam Liga M jika diberi peluang selepas ini.

“Buat masa ini, fokus saya untuk sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami dan kembali mendapatkan rentak persembahan.

“Apapun, saya sedia untuk beraksi di Malaysia namun biarlah bersama pasukan yang memiliki struktur organisasi yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:08 PM