KLOPP (tengah) mahu anak buahnya kekal momentum pada aksi EPL menentang Bournemouth, esok. FOTO/AFP
AFP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap aksi tidak konsisten anak buahnya sebelum ini adalah perkara yang perlu dielakkan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth, esok.

Kemenangan akan meletakkan barisan pemain Klopp selangkah lagi untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan, sehari selepas kelab itu menempah tiket ke separuh akhir untuk kali pertama selepas sedekad.

Juara Eropah sebanyak lima kali itu menewaskan pendahulu EPL, Manchester City 5-1 secara agregat dalam aksi timbal balik di suku akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool kini mempunyai kelebihan 10 mata berbanding Chelsea yang menduduki tempat kelima dalam perebutan untuk menduduki tempat keempat selepas hanya tewas dua kali daripada 24 perlawanan liga.

Salah satu daripada kekalahan yang dialami adalah ketika tewas mengejut 0-1 di Swansea, hanya lapan hari selepas melakar kemenangan 4-3 ke atas City di Anfield.

Justeru, Klopp enggan perkara sama berulang lagi.

“Kami semakin matang. Setiap pemain sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan situasi seperti itu.

“Jika anda menilai perkara yang buruk mengenai kami beberapa bulan lalu, pada hari yang baik kami mampu menewaskan mana-mana pasukan tetapi ketika hari yang teruk, kami tewas dengan melepaskan gol yang mudah.

“Kami sedang bekerja keras untuk mengatasi masalah ini tetapi sekarang sudah menjadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 12:32 PM