PEMAIN Barcelona sedia bangkit daripada kekalahan di pentas Liga Juara-Juara. - Foto AFP

BARCELONA akan memecahkan rekod 38 tahun jika mengelak kekalahan ketika bertemu Valencia pada aksi La Liga, esok tetapi keutamaan gergasi Catalans itu adalah memulihkan kembali luka di pentas Liga Juara-Juara di Rome.

Jika berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen La Liga kepada 39 perlawanan di Nou Camp, Barcelona akan mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Real Sociedad pada 1980 dan menghampiri musim tanpa kalah pertama dalam sejarah kelab berkenaan.

Begitupun, ketika Barca tampak cukup bertenaga di saingan domestik, kempen mereka dirosakkan, Rabu lalu dengan kekalahan di pentas suku akhir Liga Juara-Juara apabila melepaskan kelebihan 4-1 sebelum tumbang 0-3 kepada AS Roma di gelanggang lawan.

Kekalahan itu mengundang kritikan hebat media di Sepanyol dengan skuad kendalian Ernesto Valverde yang masih di landasan untuk melakar kejayaan berganda domestik secara tiba-tiba mendapati mereka perlu menjawab pelbagai persoalan.

Bintangnya, Lionel Messi yang boleh meledak hatrik pada satu perlawanan, sebelum prestasinya dikritik bagi pertembungan berikutnya tampak tidak beraksi di tahap sebenar di Itali dan kehilangan magis sejak beberapa minggu lalu.

Begitupun, kesalahan tidak dibebankan sepenuhnya ke atas Messi, namun turut dihalakan kepada keupayaan pasukannya untuk mengikuti persembahan terbaiknya, justeru Valverde terpaksa memikul sebahagian besar daripada kesilapan itu.

“Saya harap ia tidak menjejaskan kami tetapi jelas ia satu tamparan,” kata Valverde selepas kekalahan berkenaan. 

“Kami masih mempunyai sasaran yang penting di depan kami dan kami akan melihat sama ada kami mampu melakukannya.”

Dalam saingan La Liga, Barca ketika ini memiliki kelebihan 11 mata di hadapan Atletico Madrid dengan seteru utama, Real Madrid ketinggalan 15 mata di belakang.

Begitupun, di bawah Atletico ialah lawan mereka, esok iaitu Valencia yang tampak mengharungi musim yang baik di bawah kendalian Marcelino dengan sasaran layak ke kempen Liga Juara-Juara tanpa mengharungi aksi kelayakan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 4:01 PM