PEMAIN PKNS FC, Rafael Ramazotti De Quardros (dua dari kiri) cuba melakukan rembatan pada perlawanan suku akhir Piala FA Malaysia menentang pasukan Perak di Stadium Shah Alam. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Oleh Zulfaizan Mansor


PKNS FC berpeluang untuk merampas kedudukan teratas Liga Super dengan syarat menundukkan juara empat kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok. 

Mengakui tugas sukar untuk mengejutkan JDT di Larkin, pengurus pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid bagaimanapun menjelaskan skuad Semut Merah akan cuba meraih kemenangan di gelanggang keramat lawan itu.

“Kami mengakui JDT terlalu kuat di kubu mereka, ia terbukti kerana mereka sudah lama tidak tewas di sana (Larkin). Jadi kita jangka perlawanan ini agak sukar.

“Apapun, kami akan cuba untuk meraih mata, kalau boleh tiga (mata), tapi saya rasa dengan perlawanan ini, jika kami boleh seri pun sudah bagus. Cuma kalau dapat tiga mata itu bonus.

“Ia selepas melihat kepada semua faktor termasuk mereka (JDT) tampak fokus sepenuhnya kepada liga dengan merehatkan beberapa tonggak utama ketika berdepan Persija Jakarta, Selasa lalu,” kata Mahfizul ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan enam rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sejak 2014, PKNS tidak pernah menang ke atas JDT dan keputusan terbaik hanya seri 1-1 dan 2-2 dalam saingan Piala Malaysia 2016.

PKNS kini berada di kedudukan ketiga liga dan berkongsi dua mata bersama pasukan tangga kedua, Pahang yang memiliki kelebihan jaringan.

Jika berjaya melakar kejutan ke atas JDT, PKNS boleh berada di puncak liga untuk sekurang-kurangnya 24 jam sementara menanti keputusan perlawanan antara Kuala Lumpur dan Pahang, Ahad ini.

Selain itu, Mahfizul mengesahkan semua pemain skuad Semut Merah berada pada tahap terbaik kecuali Mahali Jasuli yang tidak dapat diturunkan kerana mempunyai perjanjian bersama JDT.

“Kami melakukan banyak penggiliran pemain sebelum ini. Walaupun ketiadaan Mahali, tapi kami yakin tugas itu boleh digalas pemain lain yang akan dipilih jurulatih.

“Memang kami ada peluang untuk menang dan pintas JDT, tapi kita perlu lihat kepada realiti. Bagi kami, JDT tetap menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:12 PM