SYAFIQ (kanan) dan Eain Yow tewas kepada gandingan Scotland. -Foto fail
Ajitpal Singh dan Nor Hairunizam Wahid

SKUAD skuasy negara mengakhiri kempen mereka di Sukan Komanwel 2018 hari ini selepas kedua-dua beregu lelaki dan wanita mereka kecundang di peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan di Oxford Studios itu, beregu lelaki negara Muhammad Syafiq Kamal-Ng Eain Yow tewas kepada gandingan Scotland Alan Clyne-Greg Lobban 11-9, 6-11, 5-11 dalam aksi berlangsung selama 52 minit.

Gandingan Rachel Arnold-S Sivasangari yang pernah menjinakkan juara dunia dari New Zealand Joelle King-Amanda Murphy pula tewas 8-11,10-11 kepada gandingan ternama England Laura Massaro-Sarah-Jane Perry.

Rachel mengakui kecewa apabila gagal menangani cabaran diberikan Laura dan Sarah-Jane pada perlawanan itu.

“Kami benar-benar kecewa namun cabaran yang kami hadapi dalam perlawanan ini terlalu hebat,” katanya.

“Kami bermula dengan baik pada kedua-dua set namun kami melakukan banyak kesilapan dan mereka bangkit untuk memastikan kami gagal meraih sebarang kemenangan.”

Kempen skuasy di Sukan Komanwel kali ini berakhir dengan satu pingat gangsa daripada Nafiizwan Adnan dalam acara perseorangan lelaki, berbanding satu pingat emas dimenangi Datuk Nicol David pada edisi Glasgow 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:55 PM