AFIQ Afify (kanan) and Khairul Adha galas tugas besar di Kejohanan Lumba Basikal Trek Para di Singapura Mei depan. -Foto AFP


PELUMBA basikal cacat penglihatan, Afiq Afify Rizan dan jurumudinya, Khairul Adha Rasol, bakal menggalas tanggungjawab besar meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas kepada Malaysia sempena kejohanan lumba basikal trek para di Singapura, pada 27 Mei depan.

Ketua jurulatih pasukan basikal para kebangsaan, Mohd Johari Nayan berkata, kejohanan berkenaan juga bakal disertai 13 pelumba lain yang bakal berentap dalam pelbagai acara termasuk tandem lelaki dan wanita, kejar-mengejar induvidu C1 - C5, 'Handbike' dan 'Trycycle'.

Mohd Johari berkata, antara pelumba basikal para yang dijangka turut disenaraikan ialah Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (C1), Shukor Farhan Suliman (C2), Muhammad Adi Raimie Amizazahan (C2), Mohd Najib Turano (C4), Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Ambrose Edau Anak Enjat (C5) serta tandem wanita Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan  Noraidillina Adilla J Sam. 

"Kami berharap penyertaan mereka ke perlumbaan berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan skuad lumba basikal negara untuk menghadapi Sukan Asia Jakarta 2018, pada Ogos nanti.

"Biarpun tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi namun saya berharap skuad berbasikal negara mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi gandingan Afiq Afify dan Khairul Adha yang baharu sahaja memperbahuri rekod Asia di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) pada minggu lalu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.

Sebelum ini media melaporkan biarpun pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat, namun prestasi pelumba cacat penglihatan, Afiq Afify Rizan dan jurumudinya, Khairul Adha Rasol di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) tetap boleh dibanggakan.

Mohd Johari dalam kenyataannya menegaskan, beliau tetap gembira melihat peningkatan prestasi Afify dan Adha di GC2018 terutama selepas mereka sekali lagi berjaya memecahkan rekod Asia ketika turun beraksi dalam acara ujian masa satu kilometer (1KM) di  Velodrom Anna Meares, Khamis lalu.

Afify dan Adha mencipta rekod baru dalam acara 1km selepas mencatat 1 minit 03.249 saat (s) berbanding catatan lama 1:04.192s yang dibuat di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio, Mac lalu.

Lebih manis lagi, Afify dan Adha juga berjaya mencipta rekod baru kejohanan dalam acara ujian masa 200m selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.037s sebelum dipadamkan pelumba Scotland tidak lama kemudian dengan catatan baru 9.568s.

Berikutan itu Mohd Johari berkata, secara keseluruhan prestasi Afify dan Adha dilihat semakin menuju ke arah mencapai KPI untuk menang pingat di Sukan Asia Jakarta 2018 terutama selepas berjaya memadamkan rekod lama Asia 1.04.266s dicipta gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiro-Yasufumi Ito.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:53 PM