KIPRE (kiri) meraikan jaringan gol pertama ketika menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong. -Foto RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


TERENGGANU FC (TFC) mencipta kemenangan bergaya selepas menewaskan Melaka United (MU) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Lebih menarik kemenangan pelawat dibantu menerusi persefahaman jitu skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang menguasai permainan ketika tuan rumah beraksi hambar dan gagal memberi saingan sebenar.

Malah pelawat terlebih dahulu melakukan percubaan bahaya ke gawang tuan rumah oleh Mohd Haidhir Suhaimi pada minit ke-19 namun sekadar tinggi melepasi palang gol MU.

Peluang terbaik TFC mendahului MU hadir pada minit ke-23 menerusi rembatan kapten pasukan Kipre Tchetche namun berjaya dinafikan penjaga gol Muhammad Zamir Selamat.

Tchetre akhirnya menghadiahkan gol pertama pasukannya selepas menolak masuk hantaran lintang Kamal Azizi pada minit ke-27 perlawanan untuk TFC berada di depan.

Malah J Partiban hampir menambah jaringan pada minit ke- 31 buat TFC namun rembatannya berjaya diselamatkan Zamir.

Babak pertama keseluruhannya menyaksikan tuan rumah gagal melakukan sebarang percubaan bahaya ke gawang lawan walaupun sesekali penyerangnya, Yahor Zubovic dan R Gopinathan cuba memasuki kotak penalti pelawat.

Bersambung babak kedua memperlihatkan jentera MU lebih bernafsu namun tandukan Zubovich pada minit ke-54 sekadar menggegar palang gol TFC.

Pelawat terus berusaha menambah jaringan namun rembatan Bruno Castanheira pada minit ke-57 tersasar ke kiri tiang gol MU diikuti rembatan Kipre pada minit ke-64 diselamatkan Zamir.

Barisan skuad Hang Tuah memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan namun rembatan kencang G Puneswaran pada minit ke- 62 sekadar tersasar.

Namun Kipre terus membuktikan bisanya selepas menolak masuk gol kedua pada minit ke-74 dan jaringan Lee Tuck minit ke -80 melengkap kemenangan selesa 3-0 TFC sekali gus mengecewakan tuan rumah di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:25 AM