SERGIO MARCHIONNE
AFP

ROME: Ferrari memberi amaran untuk tidak teragak-agak meninggalkan Formula Satu (F1) jika saingan berprestij itu menjadi seperti perlumbaan Nascar sambil menegaskan supaya penganjur menghargai sukan berkenaan dan tidak menjadikannya bahan 'tontonan’.

“Jika F1 menjadi lebih kepada bahan tontonan berbanding sukan, jika kita ke arah seperti perlumbaan Nascar di Amerika Syarikat (AS), maka Ferrari akan meninggalkan F1," kata Ketua Eksekutif Ferrari, Sergio Marchionne kepada pemegang saham dalam satu mesyuarat di Amsterdam memetik media Itali.

"Jika ada cadangan yang mengganggu F1, saya rasa Ferrari akan meninggalkan sukan ini. Kami sedang bekerjasama dengan Liberty Media untuk mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya lagi.

Ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain minggu lalu, Liberty Media selaku pemilik F1 memperkenalkan lima perkara utama untuk masa depan sukan itu.

Lima perkara itu ialah mengawal bajet dan pendapatan, struktur baru untuk tadbir urus, peraturan sukan dan teknikal, enjin dan kos keseluruhan.

Anggaran bajet sekitar AS$150 juta (RM582 juta) yang mungkin menyebabkan Ferrari bersedia mempertimbangkan komitmen mereka untuk sukan itu, adalah antara sebahagian pakej yang bakal diperkenalkan bermula 2021.

"Kami menerima cadangan dari Liberty 10 hari lalu. Kami berharap dapat mengetahui lebih lanjut dan kemudian melakukan pilihan berpandukan kepada kepentingan Ferrari," katanya.

"Kami akan melihat kepada jalan penyelesaian alternatif lain tetapi tidak bermakna kami akan berhenti berbelanja," kata Marchionne merujuk kepada ‘minat terhad’ pasukan utu dalam siri perlumbaan Formula E.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:06 PM