CHEW YIWEI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

ATLET terjun negara, Chew Yiwei menganggap bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang sebagai ‘sifu’ selepas menggilap bakatnya dari peringkat remaja sehingga menjadi penerjun senior.

Walaupun amat menghormati Zhuliang, pada masa sama penerjun berusia 23 tahun itu turut kagum dengan jurulatih baharunya, Christian Brooker yang kini melatih skuad terjun lelaki.

“Brooker membenarkan penerjun meluahkan perasaan ketika menyertai pertandingan. Saya rasa semakin baik sekarang. Selalunya saya harungi tiga terjunan yang buruk dalam setiap acara namun kini hanya satu.

“Saya sentiasa teringat detik bersama Zhuliang tetapi dia sudah tiada dan kehidupan mesti diteruskan. Saya tidak mahu menilai siapa yang lebih baik. Zhuliang dan Brooker mempunyai perspektif berbeza mengenai kejurulatihan dan terjunan. Berdasarkan pengalaman saya dapat di sini, saya tahu apa yang saya perlukan untuk mengukuhkan cabaran Sukan Asia,” katanya.

Atlet terjun yang berasal dari Klang itu menamatkan kempennya di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan menduduki tangga kesembilan dalam acara 10 meter (m) platform individu dengan mengutip 362.10 mata.

Seorang lagi penerjun muda negara, Kimberly Bong pula menamatkan penampilan pertamanya di Sukan Komanwel dengan menduduki tangga ke-10 dalam acara 3m papan anjal wanita yang dimenangi atlet Kanada, Jennifer Abel dengan 366.95 mata.

Kimberly yang berusia 18 tahun itu hanya mengutip mata keseluruhan 270.10 mata, menamatkan saingan satu anak tangga di atas rakan senegara, Nur Dhabitah Sabri (270.10)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 10:32 PM