RONALDO (tengah) jaring gol penyamaan Real ketika menentang Athletic. -Foto Reuters
Reuters

MADRID: Sepakan menggunakan tumit dilakukan Cristiano Ronaldo pada penghujung perlawanan membantu Real Madrid menambah satu mata apabila seri 1-1 menentang Athletic Bilbao dalam saingan La Liga di Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi ini.

Penyerang Portugal itu menguis masuk hantaran Luka Modric ke arah gawang pada minit ke-87 dengan hanya satu percubaan, yang juga gol ke-24 bagi Ronaldo pada musim ini bagi mengikat pasukan pelawat yang menjaringkan gol pembukaan menerusi Inaki Williams dalam babak pertama.

Real pada mulanya dikatakan akan tewas sehinggalah Ronaldo, yang juga membuat percubaan menggunakan tandukan yang terkena palang pada awalnya, menjaringkan gol ke-24 pada musim ini dan meletakkan pasukan di tempat ketiga dengan 68 mata selepas 33 perlawanan.

Mereka berada tiga mata di belakang musuh tradisi, Atletico Madrid yang berada di tempat kedua, dan akan bermain menentang Real Sociedad, esok. Barcelona mendahului dengan 83 mata, 12 mata di depan Atletico.

Raul Garcia melepaskan peluang terbaik menggandakan jaringan Bilbao dengan membuat sepakan melintang kepada Keylor Navas yang tidak berada dalam posisi yang baik.

Bilbao hampir mencatat kemenangan pertama mereka di Bernabeu sejak tahun 2005 tetapi Ronaldo berjaya menafikan mereka, dengan akhirnya menjaringkan gol buat Madrid selepas tuan rumah terlepas beberapa peluang.

Penjaga gol Athletic, Kepa Arrizabalaga beraksi cemerlang apabila menyelamatkan percubaan  Raphael Varane dan Marco Asensio, tetapi tidak dapat menyelamatkan jaringan Ronaldo.

Meskipun Madrid berada di prestasi terbaik, pemikiran dan jiwa mereka pasti tertumpu pada perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Jerman.

Jurulatih, Zinedine Zidane memiliki pasukan terkuat, dengan pasukannya tidak perlu bermain perlawanan liga pada hujung minggu ini kerana Sevilla akan menyertai final Copa del Rey pada Ahad ini menentang Barcelona.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini, ia bukanlah sesuatu yang positif. Kami bermain dengan baik, terutama pada babak pertama,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 9:38 AM