KETANGKASAN Khairul Fahmi ditagih skuad City Boys.

Kuala Lumpur: Jurulatih Kuala Lumpur (KL), Fabio Maciel mengakui penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berada dalam senarai pemain paling dikehendakinya apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada pertengahan bulan depan.

Malah, Maciel mendedahkan langkah pertama untuk mendapatkan Khairul Fahmi atau mesra dengan panggilan Apek sudah dimulakan apabila mengusulkan nama penjaga gol itu kepada pihak pengurusan baru-baru ini.

Beliau yakin kehadiran Apek dapat mengukuhkan lagi cabaran KL terutama untuk memantapkan posisi penjaga gol yang kini dibarisi oleh Kamarul Affendi, Ahmad Solehin Mamat dan Khatul Anuar Jalil.

“Apek seorang penjaga gol yang bagus dan berpengalaman. Sudah pasti saya sangat gembira jika dia menyertai kami dan saya mengalu-alukan kedatangannya.

“Kami perlukan pemain seperti dia untuk menjadikan pasukan KL lebih stabil serta mampu menjadi pencabar sebenar.

“Kehadiran Apek kelak bukan sekadar mampu mengukuhkan benteng terakhir KL malah boleh membimbing penjaga gol muda, Solehin dan Khatul di samping memberi daya saing kepada Kamarul.

“Saya sudah menyerahkan nama Apek kepada pengurusan untuk mereka memulakan rundingan dan berharap impian memiliki pemain itu akan menjadi kenyataan,” akui Maciel.

Selain itu, kata Maciel, beliau turut menyenaraikan nama beberapa pemain lain untuk dipertimbangkan oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam usaha memantapkan The City Boys.

Spekulasi yang mengaitkan Apek dengan pasukan KL tercetus selepas penjaga gol kebangsaan itu dilaporkan antara pemain bakal dilepaskan oleh Kelantan pada perpindahan kedua yang bermula pertengahan bulan depan.

Malah, keputusan jurulatih baharu Kelantan, Fajer Ebrahim mengetepikan Apek, sebaliknya memberi kepercayaan kepada Fikri Che Soh pada aksi menentang Negeri Sembilan hujung minggu lalu menguatkan lagi spekulasi jodoh penjaga gol itu dengan The Red Warriors hampir ke penghujung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 1:49 AM