ISMAIL (kiri) ingatkan Kuantan FA masih perlu lunaskan gaji yang tertunggak selama 3 bulan. -Foto fail
Syafiq Aznan

 

“JANGAN ingat boleh lepas!,” kata pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu menegaskan pengurusan pasukan itu tetap ‘berhutang’ dengan pegawai dan pemain dan tuntutan tetap akan diteruskan meskipun pasukan itu tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Walaupun pasukan sudah disingkirkan namun harus diingat, tunggakan sehingga tiga bulan ini tetap perlu dilunaskan kerana pemain sudah bermain bermati-matian sebelum ini meskipun langsung tidak dibayar.

“Kita ada beberapa saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan kes ini. Pengurusan seharusnya rasa lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikan gaji yang sudah tertunggak ini. Kami akan terus menuntut hak kami,” katanya hari ini.

Pada masa sama, biarpun keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ‘menendang keluar’ pasukan itu dari saingan Liga Perdana dilihat seakan terkena batang hidung sendiri, Ismail nyata lega dengan  pengakhiran pasukannya itu.

Menurut Ismail, langkah  MFL membatalkan penyertaan pasukan itu selepas berdepan dengan masalah kewangan dilihat sebagai satu tindakan yang baik dan memberi peluang kepada pemain pasukan itu mencari pasukan baharu untuk meneruskan karier mereka.

“Walaupun pasukan digugurkan, tidak mengapa kerana setidak tidaknya ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana pengurusan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Apapun, keputusan pantas ini sedikit sebanyak membolehkan pemain mencari hala tuju baharu dan saya bersyukur kebanyakan pemain yang tinggal sudah mendapat pasukan baharu untuk beraksi sekali gus membolehkan mereka terus bermain,” katanya.

Terdahulu, gara-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam 15 April lalu, Kuantan FA terpaksa menerima padah apabila digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2018 berkuat kuasa serta merta hari ini.

Keputusan itu diumumkan oleh badan pengendali liga itu yang melihat tindakan kelab bermasalah itu tidak hadir pada perlawanan dan tidak memaklumkan kepada sekretariat MFL satu kesalahan yang berat dalam peraturan Liga-M.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL itu turut mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 12:18 PM