MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Sukhairi Thani


KEPUTUSAN Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk tidak merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dianggap sebagai satu kejutan buat Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu yang dikatakan bakal mencabar kerusi berkenaan berkata, beliau menghormati keputusan Hamidin yang mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada FAM.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sukan,” kata Megat Zulkarnain. “Secara peribadi, saya terkejut dengan keputusan itu. Beliau seorang tokoh sukan berkaliber dan banyak berjasa dalam sukan terutamanya bola sepak.

“Namun saya menghormati keputusan itu memandangkan beliau mahu memberi tumpuan penuh kepada FAM. Pastinya, tugas selaku presiden FAM adalah satu tugas besar dan secara peribadi, beliau sememangnya layak apatah lagi saya sudah lama mengenalinya.”

Dalam laman Facebook rasmi FAM kelmarin, Hamidin menjelaskan keputusannya kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada badan induk bola sepak itu sekiranya dinobatkan sebagai presiden FAM yang baru bagi penggal 2018-2021 pada kongres, 14 Julai ini.

Keputusan Hamidin secara tidak langsung bakal menyaksikan kemungkinan pertandingan satu lawan satu antara Megat Zulkarnain dan juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN),  Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

“Secara peribadi, saya juga mengenali Datuk Abdul Azim dan saya menghormatinya,” kata Megat Zulkarnain. “Apapun, ini satu proses demokrasi dan saya serah kepada persatuan sukan kebangsaan dan perwakilan untuk menentukannya.

“Biarlah ia berlangsung dalam suasana harmoni dalam sebuah keluarga sukan yang besar dan apa yang penting semua ingin membawa matlamat memajukan sukan negara tetapi akhirnya perwakilan menentukannya.”

Proses pemilihan dijadual berlangsung pada 5 Mei ini manakala tarikh tutup pencalonan akan tamat Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 6:27 PM