PEMAIN Milan sugul selepas tewas mengejut kepada Benevento. -Foto EPA
PEMAIN Milan sugul selepas tewas mengejut kepada Benevento. -Foto EPA
AFP

MILAN: Roma memanaskan badan menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Liverpool minggu depan dengan kemenangan 3-0 ke atas SPAL, manakala harapan Eropah AC Milan berkecai apabila tewas 1-0 kepada Benevento.

Benevento mengutip mata sulung Serie A mereka hanya pada Disember lalu di Naples - pada perlawanan pertama Milan di bawah kendalian Gennaro Gattuso di mana penjaga gol Alberto Brignoli menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan.

Tetapi kekalahan di San Siro awal pagi tadi lebih memalukan buat bekas gergasi Eropah itu yang kini kedudukannya di tangga keenam untuk tiket ke Liga Europa diancam oleh Atalanta - dua mata di belakang - yang akan bertemu Torino hari ini.

“Apabila anda bermain tanpa jiwa, anda akan dimalukan seperti ini,” kata Gattuso yang berang dengan kekalahan itu.

“Kami perlu memohon maaf kepada penyokong, kerana kami memakai jersi berprestij dan kami tidak boleh mengharungi malam memalukan seperti ini.”

Rembatan minit ke-29 Pietro Iemmello sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat kelab selatan Itali itu, yang terpaksa bermain 10 orang selepas Cheick Diabate dibuang padang.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak cukup untuk menyelamatkan mereka daripada zon penyingkiran Serie A, dengan 12 mata perlu dikutip dalam baki lima perlawanan.

Sebelum itu Roma mudah mengatasi SPAL, tiga hari sebelum pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara dengan Liverpool di Anfield.

Fiorentina tewas 1-0 di Sassuolo, untuk kekal tiga mata di belakang AC Milan dan kelayakan ke Liga Europa.

Juara bertahan Juventus dan Napoli di tangga kedua akan bertembung hari ini bagi mengesahkan gelaran juara musim ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 10:44 AM