KUMAR bebas daripada dikenakan hukuman oleh FIH. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my

 

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar sudah bebas daripada dikenakan hukuman susulan gagal ujian doping pada saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lalu.

Keputusan itu dimaklumkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kepada MHC minggu lalu.

Jelas Subahan pada sidang media hari ini, FIH bersetuju untuk hanya mengenakan hukuman selama enam bulan saja kepada Kumar bermula 16 Oktober tahun lalu sehingga 15 April tahun ini tanpa perlu untuk menghadiri sesi pendengaran. 

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

 

Perkembangan terbaru itu bermakna Kumar boleh kembali mewakili skuad negara dengan khidmatnya pasti diperlukan pada saingan Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan yang menyaksikan Malaysia menyasarkan untuk memenangi pingat emas sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 1:12 PM