BIBI RAMJANI IIIAS KHAN

 

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu bersikap lebih rasional serta profesional dalam merevolusikan pasukan itu agar tidak ada pemain yang teraniaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK), Anuar Rajib berkata, walaupun menyokong pembaharuan dilakukan KAFA namun beliau menganggap tindakan itu tidak kena pada masanya.

“Sepatutnya Fajer (Ebrahim) dibawa masuk sebagai jurulatih sebelum musim bermula supaya beliau dapat membentuk pasukan mengikut acuannya.

“Malah, pembaharuan cuba dilakukan dengan menonjolkan lebih ramai pemain muda serta mengetepikan pemain berpengalaman sepatutnya sudah dilaksanakan sejak awal musim, bukannya sekarang.

“Bila ia dilakukan sekarang, pelbagai masalah akan timbul bukan saja kepada pemain malah KAFA sendiri. Banyak perkara perlu diambil kira sebelum tindakan dibuat.

“Pemain yang mahu disisihkan ini ditawarkan kontrak pada awal musim serta bersetuju untuk mewakili Kelantan tapi tiba-tiba diperlakukan sebagai pemain yang tidak diperlukan, ini satu bentuk penganiayaan.

“Kalau tidak mahu atau menganggap mereka menjadi beban kewangan, KAFA sepatutnya tidak mengambil mereka sejak awal lagi ,” tegas Anuar.

Beliau mendedahkan, PBPBK yang diwakili 13 bekas pemain pernah mengadakan pertemuan dengan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan bagi membincangkan hala tuju The Red Warriors selepas Bibi dipilih menerajui persatuan itu.

“Kami sudah memberi cadangan supaya KAFA lebih menonjolkan pemain muda untuk mewakili Kelantan musim ini sebagai langkah pembaharuan serta menjimatkan kos sesuai dengan kedudukan kewangan mereka.

“Tapi, cadangan kami tidak diguna pakai apabila mereka masih mengekalkan ramai pemain senior serta merekrut pemain dari negeri lain yang kita ketahui gaji mereka bukan kecil,” katanya.

Anuar juga berkata walaupun polisi Fajer mengutamakan pemain muda menunjukkan perubahan  namun menganggap keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan belum boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan Kelantan.

“Kalau mahu mengukur sejauh mana bagusnya pasukan baharu Kelantan ini, kita tunggu perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta’zim) pada Sabtu ini,” ujar Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 1:37 PM