JUPP Heynckes merancang untuk menjulang satu lagi gelaran ‘treble’ bersama Bayern musim ini. - Foto AFP

BERLIN: Jupp Heynckes merancang untuk menundukkan bekas kelab kendaliannya, Real Madrid dalam pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini sekali gus membawa Bayern Munich selangkah menjulang satu lagi gelaran ‘treble’.

Heynckes, 72, sudah memenangi trofi Liga Juara-Juara selaku ketua jurulatih bersama kedua-dua kelab gergasi berkenaan.

Beliau mengemudi Real untuk meraih gelaran terulung Eropah itu pada 1998 sebelum membawa Bayern meraih kejuaraan sama pada 2013 yang menyaksikan gergasi Jerman itu menamatkan kempen dengan tiga gelaran.

Pada usia di mana ramai rakannya sibuk bermain bingo dan menghabiskan masa bersama cucu, Heynckes gembira dengan tekanan tinggi yang dicetuskan pertembungan menarik membabitkan kedua-dua seteru Eropah itu.

“Ia sangat dinantikan, pertembungan membabitkan dua gergasi dari sudut yang positif,” kata Heynckes.

“Ini adalah dua pasukan dengan tradisi bola sepak Eropah yang hebat, yang bermain dan gemar dengan bola sepak menarik. Ia perlawanan yang sukar bagi kedua-dua pasukan.”

Ketika ini, Bayern satu-satunya kelab di Liga Juara-Juara yang masih boleh menamatkan kempen dengan tiga kejuaraan.

Gergasi Bavaria itu mengesahkan kejuaraan Bundesliga keenam berturut-turut tiga minggu lalu dan akan bertemu Eintracht Frankfurt bagi aksi final Piala Jerman pada 19 Mei ini.

Jika Bayern menjulang trofi Liga Juara-Juara di Kiev pada 26 Mei ini, Heynckes, yang menjangkau usia 73 tahun pada 9 Mei ini akan mencatat sejarah selaku pengurus tertua menjulang trofi keagungan bola sepak Eropah itu.

Beliau akan mengatasi rekod yang dipegang oleh Raymond Goethals iaitu 71 tahun, 231 hari ketika Marseille memenangi Liga Juara-Juara di Munich pada 1993.

Ketika mengambil alih tugas daripada Carlo Ancelotti Oktober lalu, Bayern ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund dan menerusi disiplin tinggi, Heynckes berjaya mengubah nasib kelab berkenaan.

“Jika kamu lihat kembali pada Oktober lalu, kami tidak jangka akan menjadi juara berbaki lima perlawanan dan berada di separuh akhir (pentas Eropah),” kata Heynckes dengan tugasnya akan diambil alih Niko Kovac, musim depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 11:38 AM