WENGER (kanan) bersama Mertesacker ketika perlawanan Arsenal dan West Ham United di London, 22 April lalu. FOTO Reuters
Reuters

TONGGAK pertahanan Arsenal, Per Mertesacker berkata pemain kelab itu fokus untuk menjuarai Liga Europa selain memenangi baki empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai hadiah terbaik buat Arsene Wenger.

Pengurus The Gunners itu Jumaat lalu membuat pengumuman akan meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim ini.

Ia sekali gus menjadi pengakhiran untuk tempoh hampir 22 tahun pengendali dari Perancis itu di Arsenal yang menyaksikan skuad kendaliannya menjulang tiga trofi EPL dan tujuh Piala FA.

Begitupun, Arsenal gagal mengucup kejuaraan di pentas Eropah bersama Wenger tetapi mereka mampu melakukannya pada musim ini dan halangan pertama mereka adalah Atletico Madrid pada aksi pertama separuh akhir, awal pagi Jumaat ini.

“Dia sudah menyatakan dengan jelas kepada kami yang inilah sasaran utamanya, untuk memenangi Liga Europa dan setiap perlawanan yang akan kami harungi selepas ini,” kata Mertesacker.

“Kami akan berusaha bersama-sama dan membiarkan dia pergi dengan bergaya... Tindak balas pasukan terhadap pengumumannya agak pantas.

“Suasana yang kami peroleh adalah, kami mahu lakukannya untuk kamu dan menghantar kamu dengan cara yang paling baik.”

Arsenal yang ketika ini menghuni tangga keenam liga belum mengumumkan nama kepada pengganti Wenger dengan Mertesacker berkata mereka mengharapkan seseorang yang ‘cukup cergas’ bagi menggalas tugas berkenaan.

“Kini kami perlu mencari seorang lagi pengurus yang paling cergas untuk memulakan era baharu,” kata pertahanan Jerman itu. 

Arsenal menyambung kempen liga domestik bertemu Manchester United, Ahad ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 3:56 PM