ANDERSON (kiri) dan Qayyum. FOTO Asyraf Hamzah
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA, PKNS FC mendapat perkhabaran gembira apabila dua tonggak pertahanannya, Zac Anderson dan Qayyum Marjoni Sabil dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan.

Kehadiran semula dua ‘kereta kebal’ Semut Merah itu juga pasti melegakan pengendalinya, Datuk K Rajagobal menjelang aksi Liga Super berdepan PKNP FC di Stadium Shah Alam, esok.

Anderson dan Qayyum yang dibelenggu kecederaan lutut sebelum ini tidak berada dalam senarai ketika pasukannya seri 2-2 dengan Perak pada suku akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu untuk mara dengan kelebihan agregat 4-3.

“Selain mampu memperkuatkan benteng pertahanan, Anderson juga pemain yang boleh membimbing pemain lain. Peranannya memang kami tagih dan saya percaya kehadirannya boleh memperkuatkan lagi bahagian pertahanan.

“Namun, saya tetap memuji pemain pertahanan lain seperti Azmizi Azmi dan Rodney Celvin yang beraksi cemerlang sepanjang ketiadaan Anderson,” kata Rajagobal sambil menjelaskan sedang memantau tahap kecederaan K Reuben dan Rafael Ramazotti.

PKNS yang menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini berada di kedudukan kelima liga selepas mengumpul 10 mata, lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas enam perlawanan liga, PKNS meraih tiga kemenangan dan satu seri, selain tewas dua kali kepada Kedah dan Johor JDT.

Sementara itu, Anderson yang tampak lebih bersemangat sesudah terlepas beberapa perlawanan sebelum ini bertekad untuk meneruskan rentak cemerlang yang dipamerkan PKNS ketika ini.

“Saya fokus untuk kembali bersama pasukan bagi membantu rakan dan kelab meneruskan rentak cemerlang yang sudah dicipta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 2:48 AM