DIEGO COSTA
AFP

BOS Atletico Madrid, Diego Simeone mengesahkan Diego Costa cergas untuk diturunkan menentang Arsenal bagi aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi esok.

Kehadiran Costa pasti mengundang ‘mimpi ngeri’ buat Arsenal yang sebelum ini sering dipalit masalah ketika penyerang Sepanyol itu beraksi bersama Chelsea.

Arsenal berharap untuk memberikan pengurusnya, Arsene Wenger hadiah perpisahan terbaik selepas 22 tahun mengemudi kelab itu dengan menjuarai trofi pertamanya di pentas Eropah selain layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Begitupun laluan yang mereka tempah cukup berliku dengan Atletico menjadi penghalang di peringkat empat terbaik.

Sejak mengambil alih kelab Sepanyol itu pada 2011, Simeone sudah membawa Atletico ke lima pentas separuh akhir Liga Juara-Juara dalam tujuh musim, memenangi Liga Europa pada 2012 dan melangkah ke final Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016.

Costa sentiasa menjadi duri dalam daging buat Arsenal ketika beraksi selama tiga musim di Chelsea, menjaringkan tiga gol dengan Blues hanya tewas sekali dalam enam pertemuan dengan Gunners.

Begitupun, dia terpaksa diketepikan sejak mengalami kecederaan hamstring ketika aksi suku akhir kedua di Sporting Lisbon.

“Kami akan cuba untuk menilai segala faktor. Kami akan bercakap dengan doktor, dirinya dan saya akan memutuskan apa yang pasukan paling mahukan,” kata Simeone ketika ditanya sama ada Costa akan disenarai dalam kesebelasan utama atau mengisi bangku simpanan.

“Semalam dia berlatih dengan baik dan kami akan buat apa yang kami rasa tepat. Di Sepanyol dan England, ada begitu banyak pasukan yang terpaksa bergelut disebabkan oleh karakternya dan bukan Arsenal saja.”

Berbeza dengan Arsenal, Atletico tampak sudah mengesahkan tempat dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan mereka ketika ini menghuni tangga kedua liga di belakang Barcelona.

Namun di sebalik ancaman berterusan yang diberikan kepada dua kelab gergasi, Barca dan Real Madrid, Atletico masih belum menjulang trofi sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 12:30 PM