EVAN Dimas (kiri) dan Ilham Udin Armaiyn. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam & Owee Ah Chun.
Syafiq Aznan


Kuala Lumpur: Persetujuan dimeterai antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) membabitkan perpindahan dua pemain republik itu, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn akhirnya dilihat memakan diri dan memberi kerugian kepada Selangor.

Ia kerana Red Giants tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain import itu bagi aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan dan juga pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka akan memperkuatkan skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia bagi kejohanan Piala Ulang Tahun PSSI bermula Sabtu ini.

Pada dasarnya, tidak menjadi satu kesalahan andainya Selangor enggan melepaskan dua pemain itu memandangkan kejohanan itu berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun persetujuan yang dicapai sebelum ini menyaksikan mereka terpaksa menanggung risiko kehilangan khidmat dua pemain itu.

Malah, pengendali skuad Merah Kuning, Nazliazmi Nasir turut mengakui kehilangan dua pemain import itu menjejaskan perancangan yang hendak disusun menjelang aksi penting itu.

“Ya, mereka menyertai skuad B-23 Indonesia jadi mereka akan terlepas dua aksi ketika bertemu Negeri Sembilan dan JDT.

“Memang ada sedikit mengganggu perancangan kami tapi saya yakin dan percaya pemain lain mampu menggalas tanggungjawab yang akan diberikan nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dengan kedudukan Selangor yang kini menghuni tangga ke-10 dan hanya satu mata mengatasi Kelantan di zon penyingkiran, sudah tentu kehilangan dua pemain import itu memberi tamparan hebat buat pasukan itu yang perlu kembali meraih kemenangan dalam usaha memperbaiki kedudukan liga.

Dengan hanya tiga pemain import boleh digunakan oleh Selangor ketika ini, sudah tentu ia memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan yang mampu turun dengan kudrat lima pemain import memandangkan mereka yang menghuni tangga tercorot liga sudah tentu terdesak untuk meraih kemenangan.

Malah, cabaran tampak lebih sukar buat Selangor apabila mereka perlu berdepan JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Selasa ini dengan keciciran mata akan menyebabkan mereka terus terperosok di kelompok bawahan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 3:18 AM