NICO KOVAC
AFP

NICO Kovac berkata keutamaannya kini adalah untuk menewaskan bakal kelabnya Bayern Munich apabila mereka melayan kunjungan pasukannya Eintracht Frankfurt dalam aksi Bundesliga, esok.

Baru-baru ini Kovac, 46, diumumkan sebagai ketua jurulatih Bayern bagi musim 2018/19 menggantikan Jupp Heynckes.

Bagaimanapun, Kovac menegaskan keutamaannya pada masa ini adalah untuk menambah sengsara Bayern, yang masih merasai kekalahan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara kepada Real Madrid 1-2.

“Satu-satunya perkara yang begitu saya minati di Bayern kini adalah bagaimana untuk kami menewaskan mereka,” kata Kovac.

“Eintracht menjadi keutamaan saya ketika ini selain apa yang mahu dicapai kami pada musim ini.”

Bayern dijadualkan sekali lagi akan bertemu Frankfurt dengan kedua-dua pasukan itu turut akan membuat perhitungan final Piala Jerman pada 19 Mei nanti.

Namun, sudah pasti Bayern akan menggilirkan pemain untuk aksi di Allianz Arena esok, empat hari sebelum bertandang ke Madrid bagi aksi kedua separuh akhir Liga Juara Juara.

Juara bertahan Bundesliga akan turun tanpa Jerome Boateng yang berehat panjang selepas mengalami kecederaan pangkal paha sewaktu tumbang kepada Real dengan Arjen Robben dan Javi Martinez turut diketepikan esok.

Pasukan tangga ketujuh, Frankfurt begitu terdesak meraih mata dalam usaha mengecilkan jurang di belakang RB Leipzig untuk memburu slot ke Liga Europa musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 10:05 AM