HIGUAIN meraikan jaringan kemenangannya ketika menentang Inter. -Foto Reuters
HIGUAIN meraikan jaringan kemenangannya ketika menentang Inter. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Juventus berhempas pulas sebelum menewaskan Inter Milan yang beraksi dengan sepuluh pemain dengan dua gol saat akhir bagi memberikan kemenangan 3-2 di San Siro awal pagi tadi sekaligus kembali membuka jurang empat mata di puncak Serie A.

Inter hampir pasti melakarkan kemenangan ketika tuan rumah mendahului sehingga tiga minit sebelum wisel penamat biarpun beraksi lebih daripada 70 minit kurang seorang pemain selepas Matias Vecino dibuang padang.

Namun Milan Skriniar tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-87 disusuli tandukan kemenangan Gonzalo Higuain dua minit kemudian.

“Kami tewas pada minit terakhir namun kali ini kami bangkit dengan semangat, maruah dan keinginan untuk menang,” kata Higuain merujuk kepada kekalahan 0-1 kepada Napoli di tangga kedua minggu lalu.

“Ia kelihatan seperti sudah berakhir, seperti ketika menentang Napoli di mana ia akan berakhir dengan kekalahan. Adalah penting untuk menjulang gelaran dengan baki tiga perlawanan lagi. Ia benar-benar menyuntik keyakinan.”

Jurang mata Juventus dirapatkan kepada hanya satu mata selepas tewas kepada Napoli di Turin minggu lalu.

Skuad Napoli kendalian Maurizio Sarri berkunjung ke Fiorentina awal pagi esok cuba mencabar kejuaraan untuk gelaran ketiga selepas 1987 dan 1990.

Kekalahan hari ini menjejaskan peluang Inter ke kancah Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka kekal di tangga kelima selepas Roma dan Lazio dengan baki tiga perlawanan.

Terdahulu Roma yang beraksi dengan 10 pemain bersiap sedia untuk aksi mesti menang di Liga Juara-Juara menentang Liverpool minggu depan dengan kemenangan 4-1 ke atas Chievo dan mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga.

“Perlawanan ini penting untuk musim depan dan kelayakan Liga Juara-Juara jadi kami perlu menang,” kata Edin Dzeko yang meledak dua gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 7:50 AM