MOHD SYARUL AZMAN MAHEN
Azlan Muhammad Zain

JAGUH bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah meletakkan keutamaan untuk memburu gelaran hatrik Mr Universe pada tahun ini.

Jelasnya, kejayaan muncul juara pada 2016 dan 2017 mahu dilengkapkan dengan dengan kejuaraan ketiga yang dijadualkan berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada hujung tahun nanti.

“Bukan saya tidak mengharapkan kejayaan di Mr Asia namun keutamaan pada tahun ini lebih kepada gelaran hatrik Mr Universe. Sebelum ini, saya sudah meraih empat kali gelaran Mr Asia,” jelasnya.

Malah dia yang bersaing dalam kategori fizik mengakui cabaran kali ini di Chiang Mai adalah sengit kerana setiap kali Thailand menjadi tuan rumah, ia akan mendapat sambutan hangat daripada peserta seluruh dunia.

“Sebagai contoh ketika saya memenangi gelaran dunia di Pattaya pada 2016 terdapat 27 atlet berbanding 12 atlet ketika edisi 2017 di Mongolia.

“Jadi saya menjangkakan jumlah peserta yang sama akan bertanding. Persiapan dan tumpuan perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi menghadapi cabaran sengit ini,” tambahnya.

Menurut Syarul Azman, persiapan yang penuh akan bermula pada Julai nanti dan ketika ini dia hanya menjalani latihan ringan.

“Bulan lalu saya mengalami sedikit kecederaan pada bahagian bahu namun tidak serius, jadi saya mengurangkan sedikit latihan agar tidak memudaratkan lagi keadaan,” katanya.

Jelasnya mengikut perancangan, dia hanya menyertai dua kejohanan antarabangsa pada 2018 bermula dengan Kejohanan Asia di India pada Oktober disusuli Kejohanan Dunia pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:21 PM